Thursday, February 24, 2011

SANGKAR KASIH CINTA ABAH(part 2)


Abah meniti hari dengan harapan dan wawasan yang begitu besar. Selalunya malam- malam kami terisi dengan cerita teladan abah. Sambil abah mengait jala dan pukat di pelantar hadapan rumah tercinta kami , abah akan mula bercerita. Kami leka meminjamkan telinga masing- masing mendengar lunak- lunak merdu suara abah. Diterangi dengan cahaya lampu minyak gasolin yang bersumbu putih dan berminyak tanah. Kisah- kisah nabi dan rasul menjadi pilihan abah malam ini. Kadang- kadang abah bersyair, rawan suara abah. Terkadang abah bertakbir, garau semangat suara abah. Begitu tekun kami adik- beradik mendengar kisah abah. Tidak sedikit pun kami terasa ingin menguap walaupun malam makin larut. Jika tidak mendengar sehari abah bercerita rasa tidak lengkap hidup sehari- hari.
 Anak- anak abah sudah terbiasa dengan aktiviti yang begitu berharga ini. Sedangkan keluarga- keluarga lain begitu asyik didendangkan dengan rancangan televisyen yang menarik. Emak pula walaupun tugasnya di malam hari sudah siap sepenuhnya masih mampu untuk menyediakan kami pisang rebus berserta lempeng tepung bersama secawan kopi untuk santapan kami. Bahagia kami dicemburi ramai, walaupun dalam kemiskinan sementara.
            Abah dikenali sebagai seorang yang begitu berdisiplin. Selalunya jam lima pagi abah sudah tercatuk bangun. Dengan langkah yang perlahan abah meniti anak- anak tangga untuk menuju ke bilik mandi yang berbekalkan air telaga yang begitu jernih dan suci. Abah akan membersihkan diri sebelum mengangkat takbir bertahajud barang dua rakaat sambil selepas itu mula mengejutkan emak. Peneman hidup abah sehari- hari dunia akhirat hendak-Nya. Apabila anak- anak abah mula menginjak usia tujuh tahun, abah pastikan semuanya bangun untuk turut sama mengucap syukur kepada Yang Maha Esa.
            Kemudiannya, mentari pagi menerjah masuk di lubang- lubang rumah yang usang itu. Inilah syurga kami sekeluarga. Tidak pernah kami merasa menyesal dilahirkan dalam rumah ini. Abah mela mengeluarkan harta kesayangannya iaitu sebuah basikal tua yang diletakkan bersebelahan dengan reban ayam- ayam. Abah akan mengayuh basikal tuanya ke surau yang agak tidak jauh dari rumah. Abah akan melaungkan tarahim. Mendayu- dayu suara abah membelah aroma pagi di kampung kami. Kemudian anak- anak Adam turut diajak bangun menyembah Tuhan yang satu. Azan. Suara lemak merdu abah berkumandang lagi. Abahlah penyeri kampung kami. Semua yang masih lena tidur sudah tergesa- gesa terpanggil sama menjalankan tugasan wajib itu.
                                    ............................................................................ 

No comments:

Post a Comment